Teater Cekak dan Hanafi
Judul Cekak & Hanafi – Mini Teater Silat & Pahlawan ini sudah mengundang naluri ingin tahu peminat untuk hadir menyaksikan pementasan teater ini di Auditorium Kompleks Jabatan Kesenian & Kebudayaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hasilnya, pementasan selama tiga malam (termasuk sesi latihan penuh) pada 5, 6 dan 7 Julai lalu dipenuhi penonton di lokasi yang boleh menempatkan kapasiti 250 orang pada satu-satu masa itu.
Agak sukar untuk memahami konsep teater begini jika tidak menghayatinya dengan mendalam. Apatah lagi, paparan elemen di dalamnya hanya dipenuhi aksi silat tanpa sebarang dialog yang dituturkan oleh pemegang watak yang beraksi di atas pentas.
Bagaimanapun dengan maklumat yang dibekalkan, sedikit sebanyak kita boleh memahami apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh pengarahnya Mohd Poizi Nawi.
Sejarah dan kronologi Silat Cekak Ustaz Hanafi
BABAK pertarungan yang diperlihatkan sangat menarik.
Ia menggambarkan permulaan Silat Cekak, seni bela diri yang berasal dari Kedah yang kemudiannya dizahirkan semula oleh Allahyarham Ustaz Hanafi Ahmad pada 1965.
Pementasan itu dipecahkan kepada empat babak di mana babak pertama menggambarkan sejarah awal Silat Cekak yang bermula ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin. Ketika itu Silat Cekak hanya diajar kepada panglima negeri Kedah dan yang paling terkenal ialah Panglima Ismail yang hidup pada 1804 hingga 1845.
Mengikut sejarah, Panglima Ismail dihantar untuk memerangi ancaman berbangsa Batak dan kehebatan Silat Cekak terserlah apabila dia berjaya mengalahkan musuh terbabit.
Pada elemen ini pergerakan randai ditampilkan bagi menggambarkan berakhirnya era Panglima Ismail dan bermula pula era Panglima Tok Rashid.
Era Panglima Tok Rashid (1845-1888) pula menggambarkan keharmonian hidup dan budaya bangsa Melayu mula diganggu gugat bangsa asing. Serangan wabak taun di Kedah juga membuatkan Panglima Tok Rashid berhijrah ke Perak.
Ketika ini muncul pendekar tekpi berbangsa asing yang sering mencabar pengamal Silat Melayu hingga ramai yang kecundang serta maruah dunia persilatan Melayu diperlekehkan. Kemunculan Panglima Tok Rashid menyuntik kembali semangat dalam diri masyarakat Melayu untuk mempelajari silat selepas beliau berjaya menewaskan pendekar tekpi hanya dengan bersenjatakan sebilah Parang Lading.
Randai tangan kosong menggambarkan tamatnya zaman Panglima Tok Rashid dan berikutnya bermulalah era Ustaz Hanafi.
Era Ustaz Hanafi (1923-1986) menyaksikan pembaharuan dan pemodenan yang disuntik dalam pentadbiran dan pembelajaran Silat Cekak termasuk menerapkan nilai-nilai agama dalam membanteras amalan tahyul dan khurafat dalam fahaman amalan silat.
Babak terakhir ini menggambarkan perjuangan Syeikh Dr Md Radzi Hanafi pada 1961 sehingga kini. Beliau meneruskan kesinambungan legasi agung ayahandanya. Bukan satu tugas mudah kerana beliau juga terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri. Cabaran dan pengkhianatan diterima dari pelbagai sudut termasuk daripada sesetengah orang yang diberi kepercayaan sekian lama.
Cabaran hebat ini dipaparkan menerusi formasi serangan tekpi, tempur lading dengan pelbagai senjata dan gerak tongkat menentang pelbagai senjata.
Mohd Poizi Nawi mengakui sukar untuk menggambarkan gerak dan falsafah silat dalam bentuk teater. Dia juga tidak mahu memasukkan pencerita (narrator) kerana bimbang teater ini dilihat sebagai sketsa.
“Saya nak pertahankan unsur ‘performing arts’ di dalamnya. Setiap gerak silat yang dipertontonkan ada falsafah di sebaliknya dan unik. Usaha menjadikan seni silat dalam bentuk ‘performing arts’ ini memang tak pernah dibuat. Cabaran yang diterima memang banyak kerana ia adalah satu projek eksperimental,” katanya yang mengakui teater ini juga menghadapi kekangan bajet yang terhad.
Teater tulisan Ar A Aziz Darmawan yang turut menerima sentuhan penggiat teater dari Stefani Event iaitu Fauziah Nawi sebagai penasihat serta Iryanda Mulia selaku pengarah muzikal ini dimasukkan dalam program ‘Semarakkan Seni Budaya’ sempena KLFEST 2013.
Biarpun hanya 45 minit, pementasan ini berupaya menunjukkan kehebatan Seni Silat Melayu yang selama ini sering dipinggirkan dari arus perdana. Elemen gerak tari silat yang tersusun sempurna serta iringan 10 pemuzik yang bermain peralatan muzik tradisional, berjaya menghidupkan mood persembahan teater ini.
Apa kata Fauziah Nawi?
Puas hati dengan persembahan
Ditemui selepas persembahan berakhir, Fauziah Nawi melahirkan perasaan puas hatinya dengan persembahan yang diperlihatkan oleh 18 pelakon ini, apatah lagi, ia pengalaman pertama mereka beraksi di atas pentas yang disaksikan ramai penonton.
“Saya sebenarnya ahli persatuan Silat Cekak Hanafi, tapi saya bukanlah pandai bersilat. Mereka minta bantuan saya sebagai penasihat untuk bantu dari aspek muzik, instrumen dan muzikal. Sebabnya mereka memang tiada pengalaman langsung untuk persembahan begini.
“Kalau adapun mereka hanya pernah buat demonstrasi seni mempertahankan diri di depan khalayak tapi ia sangat berbeza. Pada 2010 mereka buat demonstrasi di Dataran Merdeka yang menampilkan seramai 7,300 ahli. Pada 2015 mereka rancang nak buat lagi dengan 50,000 ahli di lokasi sama,” katanya.
Menurutnya, memang agak susah untuk membawa seni silat dalam bentuk teater. Justeru, dia tidak mengubahnya hingga lari daripada terma sebenar. Cuma, paparan babak perlu ada elemen performing arts.
“Saya nak Silat Cekak Hanafi buka mata semua orang dan paling penting boleh dihantar ke luar negara. Saya percaya orang akan lihat sesuatu yang boleh dibanggakan, disiplin teguh serta ajaran murni dalam seni silat,” katanya.
Sumber – Harian Metro Online
** Macam mana aku tak perasan ada teater ni? Aduhaiii..
Ps: Ada sesiapa kat sini ahli Silat Cekak Ustaz Hanafi??
4,275 total views, 1 views today
Oh.. ada juga rakan seperguruan..
Sila ajarkan saya asas silat cekak ini..hehe
Berjaya jugak mereka buat rekod dalam Guinness World Record – largest silat lesson kat Stadium Merdeka hari itu. Bangga nya!